Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama bersama anak syarikatnya telah menganjurkan program Jelajah Ramadan Langkawi (JeRAM) 2024 yang diadakan dalam tiga siri.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pengurusan) LADA Ahmad Fuad Che Ani @ Abdul Ghani objektif penganjuran program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan warga kerja LADA dan anak syarikat /syarikat bersekutu LADA serta berkongsi rezeki bersama komuniti setempat .
“Seramai 40 orang asnaf akan menerima sumbangan berbentuk wang tunai bernilai RM200 dan barangan keperluan sepanjang tiga kali program ini berlangsung pada tahun ini,” katanya.
Sejumlah 120 orang asnaf telah dipilih dari setiap mukim yang terlibat untuk menerima sumbangan dengan nilai keseluruhan RM24 ribu.
Program JeRAM pada tahun ini telah memilih tiga buah masjid iaitu Masjid An-Nawawi,Kampung Bohor Merah untuk siri pertama manakala dua lagi siri akan diadakan di Masjid Al-Ehsan,Kampung Lubuk Buaya dan Masjid Al-Wafa,Pulau Tuba.
Salah seorang penerima Shukri Meh, 59, Kampung Bohor Merah, Ayer Hangat, berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada LADA dan semua pihak yang terlibat atas sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan sempena bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya kepada pihak media semasa Program JeRAM Siri pertama di Masjid An-Nawawi, di sini kelmarin.
Turut hadir Pengurus Langkawi Port Sdn. Bhd. Muhd Nasir Abd Aziz.
-ZS-