Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kempen MySaveFood Berjaya Menerima 27.65 Kilogram Sumbangan Makanan daripada Peniaga

By 22 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Persatuan Belia Masjid Perlis (Kangar)

KANGAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Program MySaveFood ini adalah merupakan inisiatif Bahagian Pembangunan Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan (BPRM KBS) di bawah salah satu daripada sepuluh gaya hidup Rakan Muda iaitu Rakan Bumi.

Kempen MySaveFood adalah bertujuan pembudayaan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan dalam mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan mulia ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Masjid Belia Negeri Perlis, Zulhelmi Hj. Zubair, program MySaveFood Perlis bertempat di Bazar Ramadan Rahmah Persiaran Wawasan (BRRPW) akan dijalankan selama seminggu dengan penglibatan seramai 12 orang sukarelawan.

“Usaha yang dijayakan oleh sukarelawan terdiri daripada ahli Persatuan Belia Masjid Perlis dilihat sebagai satu usaha mengelakkan pembaziran makanan”.

“Selari dengan naratif Ihsan dalam kerangka besar Malaysia Madani, projek pengurusan lebihan makanan seperti ini dilihat bertepatan,” ujar beliau lagi.

“Konsep MySaveFood ini adalah makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan di BRRPW ini untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti rumah kanak-kanak, institusi pengajian tinggi atau mana-mana tempat lain yang memerlukan”.

Sukarelawan daripada Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis akan menjadi penggerak kepada kempen ini.

Para sukarelawan telah bergerak awal bagi membuat edaran risalah untuk memaklumkan kepada para peniaga disini berkenaan kesedaran kempen ini.

“Sukarelawan akan bergerak pada lewat petang ke gerai-gerai jualan yang ingin menyumbang untuk mengumpul makanan dan minuman yang diterima daripada peniaga atau pun para peniaga hadir ke khemah urus setia untuk meletakkan makanan dan minuman yang ingin diserahkan.

“Kemudian sukarelawan akan memeriksa jenis-jenis makanan yang disumbangkan dan menimbang makanan dan seterusnya proses asing, bungkus dan label akan dilaksanakan sebelum kita bergerak membuat penyerahan,” ujar Zulhelmi Hj. Zubair, Pengerusi Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis ketika ditanya berkenaan proses kempen ini dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis menyeru para peniaga di bazar Ramadan di sini dan juga masyarakat di negeri Perlis untuk bersama-sama dalam menjayakan program MySaveFood ini sebagai salah satu usaha membentuk nilai ihsan.

Program MYSaveFood Perlis semalam telah menerima sumbangan makanan sebanyak 27.65 kilogram.

Program MYSaveFood Perlis ini adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis bersama Persatuan Belia Masjid Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar.

-AA-

Tinggalkan komen anda