Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Lebih 426kg Makanan Diselamatkan di Bazar Ramadan Kampong Baru Melalui MySaveFood

By 19 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Idham Abd Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 426.4 kilogram (kg) makanan telah berjaya diselamatkan di Bazar Ramadan Kampung Baru kelmarin melalui Program Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan (MySaveFood).

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, program MySaveFood itu merupakan program lanjutan dari tahun lalu melibatkan peniaga bazar Ramadan dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk mengelakkan pembaziran makanan khususnya pada bulan Ramadan.

“Tahun ini kita akan menggerakkan seramai 2,700 sukarelawan GPS terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bersama sukarelawan GEMA ke 75 bazar Ramadan di 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

“GPS yang terlibat adalah dari 35 IPT terdiri daripada 19 IPTA dan 16 IPTS di mana sukarelawan ini akan kumpul makanan di bazar terdekat mereka dan mengagihkannya kepada universiti masing-masing,” kata Fuziah ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan Program MySaveFood Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini semalam.

Program MySaveFood ini membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan yang mulia ini di samping menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang 2030 sekali gus mewujudkan Zero Hunger.

KPDN menyeru peniaga-peniaga di bazar Ramadan dan juga masyarakat Malaysia untuk bersama-sama dalam program MySaveFood ini sebagai salah satu usaha membendung pembaziran makanan dan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan.

-AA-

Tinggalkan komen anda