Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Menara Condong Jadi Tumpuan Malam Minggu

By 25 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Mercu tanda bandar Teluk Intan, Menara Condong terus menjadi lokasi pilihan pengunjung untuk bersantai sambil meluangkan masa bersama keluarga terutama ketika malam minggu.

Pengunjung Nurul Izani Suhaimi, 38, berkata dia dan suami sentiasa mencari kesempatan untuk membawa ketiga-tiga anak mereka bermain di bangunan warisan kebangsaan itu apabila ada masa terluang.

“Kebetulan kami baru selesai membeli-belah barangan keperluan hari raya di bazar berhampiran, jadi suami sengaja singgah untuk bawa mereka bersiar-siar dan bermain belon buih,” katanya ketika ditemui, di sini malam kelmarin.

Bagi pengunjung Jothi Nadarajan, 39, menara berusia 139 tahun itu mempunyai nilai sentimental bagi dirinya dan keluarga.

“Menara ini sejak dahulu menjadi tempat keluarga saya bersantai. Dari kecil ibu bapa selalu bawa kami adik-beradik bermain di sini, jadi sekarang giliran saya pula bawa anak-anak,” ujarnya.

Tambah Jothi, hubungan baik dan harmoni dalam kalangan masyarakat Teluk Intan dapat dilihat menerusi kehadiran pengunjung berbilang kaum di menara itu.

Selain pelbagai pilihan aktiviti permainan bagi kanak-kanak, orang ramai turut berpeluang untuk bergambar bersama figura ‘Bumblebee’ dan ‘Iron Man’ di hadapan menara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda