Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Program Jualan Rahmah Bergerak Sempena Ramadan Selama 22 Hari

By 13 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN Kuala Lumpur) menganjurkan Program Jualan Rahmah Bergerak sempena Ramadan selama 22 hari di 22 lokasi sekitar ibu kota.

Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin, program yang diadakan bermula semalam hingga 7 April itu membabitkan kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur dengan dua kali penganjuran di setiap kawasan tersebut.

“Jualan pada kali ini menawarkan barangan asas seperti ayam, daging lembu, telur, minyak masak, tepung gandum, beras, sardin, bawang merah, bawang putih dan santan pada harga yang lebih rendah dari pasaran dengan diskaun maksimum 30 peratus.

“Jualan Rahmah Bergerak ini diadakan selama 22 hari di lokasi terpilih kecuali pada hari Jumaat dan kita bawa sekurang-kurangnya 600 pek hingga 1,000 pek bagi setiap item (barang) mengikut kesesuaian lokasi berkenaan,” katanya.

Ariffin berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Bergerak di Flat Desa Pandan, di sini semalam.

Ujarnya lagi, program itu diadakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar khususnya pada bulan Ramadan ini.

“Selain Jualan Rahmah Bergerak ini, kita masih teruskan Program Jualan Rahmah di 23 premis sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu sewaktu selepas gaji secara berterusan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda