Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Kesultanan Pahang
PEKAN, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandari Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Sungai Miang dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Sungai Miang, di sini semalam.
Dalam titahnya, Baginda mengingatkan rakyat supaya meminum air yang lebih banyak dari biasa selepas berbuka puasa kerana cuaca yang amat panas akibat fenomena El-Nino sekarang.
“Dan digalakkan kita minum air yang lebih sedikit dari kebiasaan bagj mengelakkan risiko mengalami dehidrasi atau strok haba.
“Bagi mereka yang mengalami dehidrasi dan strok haba, mereka perlulah segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan rakyat jelata untuk berjimat cermat dan membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
“Berbelanjalah ikut keperluan dan kemampuan, jangan membazir, kerana ekonomi hari ini tidak menentu,” titah Baginda.
Dalam majlis yang sama Baginda berkenan merasmikan Masjid Kampung Sungai Miang dan berkenan menukarkan nama masjid tersebut kepada Masjid Al-Mustaqim Sungai Miang.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin.
Seperti kebiasaan, Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan memberi kurnia kepada golongan asnaf, warga emas, wanita dan kanak-kanak.
-ZS-