Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/JBS Johor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 28 Apr (Malaysiaaktif) — Selepas Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) diteruskan ke negeri Johor bertempat di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, semalam.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, berkata Johor menjadi negeri keempat pelaksanaan Kembara JOM ini dan seterusnya akan ke Kuala Lumpur.
“Saya lihat program Kembara JOM ini memberikan peluang kepada belia untuk bersuara, bertukar pandangan dan bersikap terbuka dalam memastikan belia di negara ini mendapat pembelaan demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Adam Adli, berkata kerajaan bersikap berlapang dada dalam mendengar kritikan yang diutarakan oleh belia dan pada masa sama kita juga perlu menjaga sensitiviti dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.
“Kerajaan ambil maklum dan kita jawab segala persoalan yang diajukan dengan sebaiknya dengan jelas,” katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk Onn Jabbar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor Shamsuhaime Basir.
-ZS-