Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Jualan Rahmah Ringan Beban Rakyat Sambut Aidilfitri

By 7 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

BAGAN DATUK, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Pusat Khidmat ADUN Hutan Melintang di Dewan Sanmarkha, di sini semalam bertepatan dengan waktunya apabila rakyat sedang sibuk mencari barangan keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ketua Cawangan KPDN Teluk Intan Wan Muhammad Badro Wan Mahmood, 36, jualan ini bertujuan membantu rakyat terutama golongan sasar dan kurang berkemampuan.

“Atas faktor tersebut, penganjuran program ini banyak memfokuskan lokasi yang terbuka dan mudah dikunjungi oleh rakyat dalam golongan B40.

“Barangan yang dijual ditawarkan dengan potongan harga sehingga 30 peratus dan dijual lebih murah berbanding harga pasaran,” ujarnya ketika ditemui.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, 56, yang turut hadir berasa sangat gembira dengan sambutan yang diterima.

“Saya berterima kasih atas usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh KPDN untuk menganjurkan PJR dan berharap program ini menggembirakan hati rakyat,” katanya.

Kegembiraan membeli barangan keperluan di PJR dikongsikan oleh salah seorang pengunjung, Nurul Farhana Badrul Ezan, 38.

“Saya mendapat maklumat berkenaan PJR melalui hebahan dalam media sosial.

“Saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana prihatin dengan keperluan rakyat yang akan menyambut Aidilfitri,” ulasnya.

-AA-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda