Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Shaik Mohamad Fikri
KUALA NERUS, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Jualan Jelajah Peladang Muda yang diadakan di Perkarangan Masjid Tok Jembal, di sini kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat sekali gus membantu penduduk kurang berkemampuan membuat perjimatan dengan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Bukit Tok Ris Hassan Ibrahim, 67, berkata barangan keperluan asas seperti ayam segar, beras dan gula ditawarkan pada harga yang lebih rendah oleh penganjur.
“Saya juga mengambil peluang ini untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya.
Bagi pengunjung dari Perumahan Wakaf Tengah Wan Khalid Abdullah, 68, memberitahu beras jenis tempatan sukar didapati di pasar raya dan kedai runcit ketika ini.
“Di Jualan Jelajah Peladang Muda disini, saya dapat membeli beras tempatan pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram,” katanya.
Sementara itu, suri rumah Noriah Jusoh, 50, berharap jualan ini dapat diadakan lebih kerap kerana terdapat pelbagai barangan keperluan harian serta bahan mentah yang dijual jauh lebih murah dan sangat menjimatkan berbanding di pasar raya dan kedai runcit.
Turut berlangsung Perasmian JPM Mart oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Wira Haji Mahfuz Omar.
-ZS-