Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 300 murid pelajar tingkatan lima dari beberapa sekolah di negeri Perlis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini telah menyertai Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecergasan Pelbagai selama tiga hari di Pulau Pinang bermula hari ini.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertempat di Stesen Keretapi Arau .
Program ini anjuran Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Tuanku Syed Putra, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Keretapi Tanah Melayu Berhad.
Menurut titah Pemangku Raja Perlis di majlis tersebut, berkata para pelajar diharap dapat menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang untuk belajar semasa program tersebut berlangsung.
Antara objektif program ini adalah untuk memastikan semua murid mencapai kelayakan sijil SPM selepas 11 tahun mengikuti pendidikan wajib, sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan atau melanjutkan pelajaran.
“Ambillah kesempatan ini untuk bertanya kepada pakar subjek, mendalami pelbagai teknik pembelajaran yang akan diajar dan tidak ragu untuk mengemukakan soalan. Keberanian untuk bertanya adalah langkah pertama ke arah pembelajaran yang lebih mendalam,” ujar baginda.
Tambahnya, program seumpama ini akan memberikan pendedahan, sumber dan sokongan yang mencukupi secara tidak langsung peratus kelulusan dan pencapaian SPM negeri Perlis akan lebih meningkat.
“Oleh itu, hargailah kesempatan ini dengan sebaiknya. Gunakan setiap detik yang ada untuk memajukan diri dan menggali potensi yang ada dalam diri anda. Harapan yang tinggi diletakkan oleh ibu bapa dan guru agar anda semua berjaya dalam SPM 2024,” jelas Pemangku Raja mengakhiri titah.
-AA-