Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)
KUCHING, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Bengkel Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan adalah untuk memeta, mendokumen dan memantapkan bahasa sukuan etnik Sarawak agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Bengkel anjuran dan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak setiap tahun itu telah dihadiri oleh 20 orang peserta daripada pelbagai suku kaum di Sarawak merupakan platform yang sangat tepat untuk memastikan bahasa-bahasa sukuan di Sarawak terus kekal dan relevan ditutur oleh generasi muda etnik masing-masing.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai menyeru agar lebih banyak lagi daftar kata dan kamus bahasa sukuan dapat diterbitkan oleh etnik masing-masing pada masa akan datang.
“Tujuan mengadakan bengkel Pembinaan dan Pengesahan Bahasa Sukuan Sarawak dan Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDBUSS) setiap tahun adalah untuk mengumpul, mengesah dan menilai agar ia dapat menjadi satu dokumen dan bahan rujukan kepada generasi akan datang khususnya dalam kalangan bahasa yang semakin pupus.
“Di samping itu adalah untuk mendokumenkan istilah-istilah khusus dan umum, memeta bahasa, melengkapkan penggunaan bahasa di dalam Kamus Melayu Dewan serta mengungkapkan kata-kata yang sinonim atau yang tiada dalam bahasa Melayu dalam bentuk bertulis,” ujar beliau kelmarin ketika sesi ucapan penangguhan bengkel.
Abang Haliman turut berharap agar lebih ramai lagi kumpulan etnik pribumi Sarawak melakukan kerja-kerja pengumpulan bahasa etnik masing-masing dengan membuat daftar kata dan juga kamus.
Bengkel yang diadakan selama dua hari tersebut sangat bermanfaat terutama kepada kumpulan etnik khususnya etnik minoriti Sarawak yang belum menerbit daftar kata, glosari mahupun kamus.
Bagi Samasu Johari, 58, yang berasal dari Kabong, meskipun sudah ada Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan, bahawa bahasa Melayu Kabong mempunyai beberapa perbezaan dari segi intonasi dan kosa kata berbanding dengan Melayu Sarawak di kawasan lain.
Beliau yang juga pertama kali mengikuti bengkel sangat teruja dan ingin mendokumenkan bahasa Melayu Kabong diterbit menjadi daftar kata dan kamus agar ia tidak pupus pada masa akan datang.
Menurut Jacquluelyne Ekot, 41, yang berketurunan Kejaman dan telah mengikuti bengkel sebanyak empat kali, berharap agar DBP meneruskan agenda bagi memberi peluang dan ruang kepada etnik minoriti Sarawak untuk melestari bahasa dan budaya etnik dan seterusnya mendokumentasikannya untuk tatapan serta rujukan pada masa akan datang.
Drebber Dangan, 44, yang mewakili kaum Sekapan Belaga turut berpuas hati dijemput untuk mengikut bengkel kali kedua dan mereka kini dalam proses membuat deraf bahasa Sekapan agar ia terus subur ditutur oleh generasi akan datang.
-ZS-