Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Bersetuju Melaksanakan Program Rehabilitasi secara Sukarela kepada Ahli-Ahli GISBH

By 14 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Wira Ismail (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Program Rehabilitasi secara sukarela kepada ahli-ahli Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan semasa sidang media di Kuala Lumpur dekat sini hari ini memaklumkan MKN dipertanggungjawabkan berkolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi-agensi terlibat untuk menerajui tindakan rehabilitasi dalam kalangan ahli GISBH bagi memastikan aspek akidah dan kelangsungan hidup ahli-ahli mereka akan terjamin.

“Kerajaan mengambil berat terhadap ahli GISBH yang memerlukan bimbingan akidah dan kelangsungan hidup selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi ini.

“Kumpulan ini yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak kecil tidak seharusnya disisihkan tetapi mereka memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar,” menurut kenyataan itu.

Melaka hari ini merupakan negeri keempat selepas Perlis, Selangor dan Pahang mengisytiharkan kepercayaan dan amalan GISBH yang dikaitkan dengan aktiviti eksploitasi kanak-kanan dan dakwan doktrin taasub keagamaan itu sebagai menyeleweng dan sesat.

Menurut kenyataan itu, bagi mencapai matlamat ini, semua ahli GISBH dijemput untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela yang terbuka kepada semua ahli GISBH termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak di semua peringkat umur dengan menawarkan program pemulihan aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan, kenegaraan serta latihan kemahiran secara komprehensif.

“Program ini akan dilaksanakan secara berfasa di beberapa pusat latihan terpilih dan semua peserta terlibat akan disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang program berlangsung.

Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat bermula 14 Oktober (hari ini) sehingga 14 November ini.

“Semua peserta akan dihubungi terlebih dahulu selepas pendaftaran dibuat bagi tujuan koordinasi logistik. Pendaftaran boleh dilaksanakan menerusi salah satu kaedah-kaedah berikut iaitu; pendaftaran secara dalam talian menerusi pautan https://form.jotform.com/242760538389468; menghubungi pusat panggilan JAKIM di talian 03-88707294/7295 /7296 atau Bilik Situasi, Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara (PPON, MKN) di talian 03-88880733 bagi mendapatkan bantuan pendaftaran secara dalam talian atau pendaftaran di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

“Sekiranya ahli GISBH yang ingin menyertai program ini mendapat sebarang ancaman atau ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sila buat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan itu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda