Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Pelbagai acara mengisi Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 peringkat Labuan.
Menurut kenyataan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, pelbagai aktiviti dan acara sukan dan rekreasi telah berlangsung antaranya larian ria, berjalan santai, aktiviti kecergasan, Karnival Sukan OKU, sukan air, sukan seni mempertahankan diri, pameran serta banyak lagi.
“Dengan mengetengahkan tema #CergasBersama, pelbagai program dan aktiviti sukan serta rekreasi dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) di seluruh negara merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 4.5 juta orang meliputi segenap lapisan masyarakat termasuklah wanita, warga emas, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak,” menurut kenyataan tersebut semalam.
Menurutnya lagi, objektif penganjuran HSN adalah bagi membentuk masyarakat yang sihat serta bersatu padu.
“HSN mempromosi gaya hidup aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan, fizikal dan seumpamanya, meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi seterusnya memperkukuhkan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat, memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional menerusi aktiviti sukan dan rekreasi,” katanyanya.
Tidak kurang 7,000 warga Labuan membanjiri Majlis Perasmian Sambutan HSN 2024 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan semalam yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
-ZS-