Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)
ALOR SETAR, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Sukan rakyat yang berasaskan permainan tradisonal zaman dahulu memberi kelainan serta pengalaman yang berbeza kepada penduduk Taman Kota Nelayan dan Komuniti MADANI Kubang Rotan.
Muhammad Adam Ziqri Abdul Hakim, 16, berkata sebelum ini dia tidak mengetahui kewujudan sukan tradisional seperti ketingting, batu seremban, tuju tin dan sebagainya.
“Kami hanya tahu e-sukan dan sama sekali tidak pernah didedahkan dengan permainan tradisonal. Jadi aktiviti sukan rakyat menjadi salah satu tujuan utama saya dan rakan-rakan menyertai program pada hari ini.
“Ibu juga menyuruh saya merasai pengalaman dulu-dulu. Saya tidak sangka aktiviti ini begitu menyeronokkan kerana benar-benar lain berbanding permainan remaja zaman sekarang,” katanya petang semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Kubang Rotan Zon C Muhammad Hazameer Muslim, berkata Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) merupakan platform yang dapat mengetengahkan permainan sukan tradisi selain dapat mengukuhkan hubungan serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“?ni merupakan kali pertama penganjuran ‘Sukan Rakyat Zaman Dahulu’ diacara dan dipertandingkan pada program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar bersama Komuniti MADANI,” katanya.
Program JIWA Komuniti MADANI DUN Kubang Rotan berlangsung di Perkarangan Pusat Komuniti Desa Masjid Al Maarufi melibatkan pelbagai aktiviti lain termasuk pameran dan perkhidmatan kaunter dari pelbagai agensi kerajaan.
-ZS-