
Laporan/foto: Muhammad Naim
JEMPOL, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 213 peserta FELCRA Bayai telah menerima geran hak milik di majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun di Dewan Majlis Perbandaran Jempol, di sini semalam.
Menurut Aminuddin semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Hakmilik Peserta FELCRA Bayai, Mukim Serting Ulu, Kerajaan Negeri sangat menghargai kesabaran setiap peneroka-peneroka yang mengusahakan tanah mereka dan mendapat hak milik setelah selama 40 tahun menunggu.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut mengharapkan setiap pemilik dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pemilik tanah untuk membayar cukai tahunan.
Setiap peserta penerima hak milik ini telah mengusahakan tanah seluas empat ekar dan secara keseluruhan FELCRA Bayai, dimajukan dengan tanaman getah serta kelapa sawit.
Selain itu, kebanyakkan para peserta yang mendiami kawasan ini bermula pada tahun 1980 terdiri daripada kaum Melayu.

Antara 213 peserta FELCRA Bayai yang hadir.
Seorang peserta Ismail Hassan, 75, berkata setiap peserta haruslah dapat menunaikan tanggunjawab yang sepatutnya apabila sudah mendapat hak milik tanah dengan membayar cukai tahunan dan mengusahakan dengan lebih baik.
“Walaupun saya terpaksa menunggu lama tetapi saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana penantian untuk mendapatkan hak milik tanah telah menjadi kenyataan,” katanya.
-ZS-