Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI 15 Nov (Malaysiaaktif) – Aishah Noor yang berusia 106 tahun telah dinobatkan sebagai warga emas tertua di negeri Kedah dalam majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Daerah Kuala Muda.
Beliau merupakan ibu kepada tujuh orang anak, 29 cucu, 62 orang cicit dan 16 orang piut diraikan di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), semalam.
Menurut Pegawai Daerah Kuala Muda Datuk Haji Abdul Ghafar Yahya ketika merasmikan sambutan tersebut, masyarakat perlu menunjukkan sepenuh komitmen dalam menyantuni golongan istimewa ini agar kebajikan mereka sentiasa terjaga.
“Insan-insan ini perlu dijaga, dilindungi dan dihargai tanpa mengira usia atau keadaan fizikal mereka kerana golongan OKU ini mempunyai potensi mereka yang tersendiri manakala warga emas pula adalah penyimpan khazanah pengalaman dan ilmu yang tidak ternilai,” katanya.
Pelbagai anugerah juga turut di sampaikan dalam majlis ini seperti Anugerah Khas Warga Emas.
-ZS-