Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

92 Terima Tawaran Rumah Mampu Milik Taman Cassia Bahau

By 15 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida Md Nor Aidi

JEMPOL, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 92 orang pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A Taman Cassia, Bahau tidak menyangka apabila terpilih menerima lot rumah tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun ketika Majlis Perasmian Bagi Sesi Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis Taman Cassia, Bahau, di sini petang semalam mengumumkan semua yang hadir akan mendapat surat tawaran pembelian rumah.

Menteri Besar ketika mengumumkan kesemua 92 pemohon yang hadir hadir akan terima surat tawaran rumah mampu milik.

“Hari ini tiada pengundian yang akan dibuat. Semua yang hadir akan terima surat tawaran rumah mampu milik,” katanya.

Menurutnya, para pemohon sangat bertuah dan pihak kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada pihak pemaju Landas Bumi Sdn. Bhd. kerana memberikan kerjasama yang sangat baik serta bersetuju untuk menawarkan harga rendah bermula RM80,000 seunit walaupun sepatutnya harga rumah ini boleh dijual dengan harga bermula RM120,000 seunit.

“Kerajaan Negeri sedaya upaya dan sentiasa berusaha untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Sembilan selari dengan Dasar Perumahan Negara termasuk menggalakkan kepelbagaian akses isu rumah kepada perumahan menerusi pemilikan dan sewaan.

“Bagi menzahirkan komitmen kepada rakyat yang berkeperluan, terutamanya bagi golongan B40, Kerajaan Negeri telah menetapkan syarat pembinaan Rumah Mampu Milik Type (Jenis) A dalam semua projek pembangunan perumahan di Negeri Sembilan,” katanya.

Salah seorang pemohon berstatus ibu tunggal Eswari R. Chandran 34, sangat gembira dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana sudi memberikan tawaran kepada semua yang hadir.

Eswari menunjukkan surat tawaran yang diterima.

“Selepas ini kami anak-beranak dapatlah hidup dengan lebih selesa dan kami harap segala urusan kelulusan juga berjalan dengan lancar dan rumah yang kami impikan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Projek perumahan mampu milik tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada Jun 2025 dan mempunyai kemudahan yang lengkap seperti sekolah, masjid, dewan awam dan lain-lain.

-ZS-

Tinggalkan komen anda