
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roseemyzal Nordin (Labuan)
LABUAN, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Kerjasama 31 agensi kerajaan dan swasta berjaya mengawal tiga situasi cemas yang berlaku di Lapangan Terbang Labuan semalam.
Situasi pertama membabitkan sekumpulan warga tempatan dan pekerja asing yang membuat demonstrasi haram dengan melakukan provokasi kepada pasukan keselamatan Lapangan Terbang Labuan yang cuba menyuraikan perhimpunan tersebut.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan sedang mengendalikan mangsa yang terkesan dengan bahan kimia berbahaya.
Pasukan Light Strike Force (LSF) Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan yang dikerahkan ke lokasi kejadian juga sempat bergelut dengan kumpulan tersebut sebelum berjaya menahan beberapa individu sekali gus menyuraikan para peserta perhimpunan tersebut.
Kekecohan tersebut turut mengakibatkan dua individu pengsan dipercayai akibat terkesan dengan bahan kimia berbahaya yang dilepaskan oleh perusuh lain. ‘Hazardous Material Unit Team’ (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dan pasukan perubatan dari Hospital Labuan terpaksa dipanggil untuk mengendalikan kedua-dua mangsa itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Selepas kedua-dua mangsa dipindahkan dan proses nyahcemar dilakukan, berlaku kejadian kebakaran di sebuah bilik yang terletak di aras tiga Bangunan Lapangan Terbang Labuan. JBPM Labuan bersama Pasukan Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia yang dipanggil ke lokasi kejadian berjaya mengawal kebakaran selepas proses pemindahan penumpang dan kakitangan lapangan terbang berjaya dilakukan.
Semua babak-babak cemas yang berlaku itu adalah sebahagian dari senario Latihan Ancaman Ketenteraman Awam atau On Ground Act of Aggression-Full Scale Airport Emergency Exercise of Labuan Airport yang diterajui Malaysia Airports bersama 30 agensi lain antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pejabat Ketua pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mohd Zuraffly (tiga dari kanan) semasa ditemu bual media.
Menurut Pengurus Lapangan Terbang Labuan Mohd Zuraffly Md Zuki, latihan yang melibatkan sekitar 250 anggota pelbagai agensi itu bertujuan menguji keupayaan agensi-agensi terlibat dari aspek teknikal, tindak balas, perancangan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menghadapi segala bentuk kecemasan dalam lapangan terbang.
“Latihan ini dilaksanakan setiap tahun sebagai inisiatif Malaysia Airports memastikan Lapangan Terbang Labuan sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi,” katanya.