Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani (Rembau)
REMBAU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyerahkan lima buah rumah yang siap dibina kepada anggota RELA merupakan manifestasi penghargaan pihak kerajaan kepada jasa bakti mereka kepada negara.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Mohd Ghazali Mamat menzahirkan rasa sukacita kerana bantuan bina rumah baharu ini adalah yang pertama selesai pembinaannya.
“RELA sangat bertuah dan berterima kasih kepada pihak KKDW kerana keseluruhan kos projek binaan rumah baharu ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak KKDW.
“Projek yang telah diterima oleh RELA Negeri Sembilan daripada pihak KKDW pada tahun 2024 adalah sebanyak lima projek merangkumi empat projek baik pulih rumah dan satu projek bina rumah baharu,” katanya.
Mohd Ghazali, berkata demikin ketika menyempurnakan majlis perasmian di Kampung Anak Air Kundur, Pedas, di sini semalam.
Majlis Simbolik Penyerahan Rumah Baharu Kolaborasi Pihak KKDW Bersama RELA diadakan bertujuan meraikan penghargaan RELA kepada KKDW dan agensi di bawahnya iaitu GIATMARA Negeri Sembilan atas inisiatif bantuan tersebut.
“Semoga dengan bantuan ini diharapkan dapat memberi dorongan semangat dalam kalangan anggota malah menjadi nadi penggerak jalinan kerjasama yang jitu antara RELA dengan pihak KKDW pada masa-masa hadapan,” katanya.
Anggota RELA Daerah Rembau Mahmut Osman, 63, terpilih sebagai penerima rumah setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak KKDW dan GIATMARA Negeri Sembilan.
-ZS-