Laporan/foto: Herman Hamid/Muhammad Ikhmal Rauff Ghazali
KUALA LUMPUR 1 Nov (Malaysiaaktif) – Semangat perayaan Deepavali seharusnya dilihat sebagai pemangkin bagi membawa Malaysia ke arah yang lebih positif tanpa mengira agama, bangsa, perkauman serta perbezaan fahaman politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali di Sentol Depot, di sini semalam, berkata Deepavali yang cukup terkenal dengan perayaan cahaya ini mempunyai sejarah yang cukup bermakna kepada kaum India iaitu menyemarakkan semangat cahaya bagi menggantikan kegelapan.
“Sambutan Deepavali MADANI pada kali ini bukanlah hanya sekadar perjuangan untuk meneruskan kehidupan dengan mencari makan dan minum tetapi adalah lebih baik dengan mencari sekali cahaya kebaikan dan keadilan serta kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya lagi, semangat Deepavali pada tahun ini dapat memberi peluang kepada penganut agama Hindu dan kepada semua penganut agama yang lain agar dapat bersatu padu serta hidup dalam suasana perpaduan yang harmoni.
Lebih 5,000 orang tetamu hadir memeriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali ini di mana pelbagai juadah istimewa masyarakat India telah disajikan di samping hiburan daripada barisan artis tempatan seperti Zubir Khan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri termasuk Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran.
-ZS-