Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain (Timur Laut)
BUKIT BENDERA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Suasana pantai peranginan ikonik Batu Ferringhi yang indah serta pelbagai aktiviti air yang mengujakan menjadikan lokasi ini destinasi pilihan bagi percutian singkat sempena cuti Deepavali.
Kemeriahan di sini tidak hanya tertumpu kepada berkelah dan mandi-manda sahaja, pelbagai aktiviti air seperti menunggang jet ski, menaiki banana boat, layar-layang dan lain-lain turut menjadi tarikan utama buat pengunjung yang hadir.
Sara Ooi, 29, yang bertolak dari Ipoh petang Selasa lalu, memilih untuk menginap di sebuah hotel berdekatan bagi memudahkan aktiviti riadah mereka di sekitar pantai.
“Kami juga tak akan melepaskan peluang untuk berjalan-jalan di sekitar Pulau Pinang sebelum pulang esok, lagipun dah lama tak ke sini,” katanya ketika ditemu bual oleh Malaysia Aktif.
Bagi Ridhwan Ismail, 34, keindahan Batu Ferringhi pada waktu malam pula menjadi tarikan utama.
“Alang-alang bercuti, kami ke sini untuk melihat sendiri keindahan pantai pada waktu malam, anak-anak pun memang teruja nak tengok persembahan bunga api malam ini,” katanya yang berkunjung bersama-sama keluarga dari Kepala Batas.
Dalam keseronokan tersebut, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Orang ramai diingatkan agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti air dan mematuhi panduan keselamatan sepanjang berada di pantai.
-ZS-