Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Dr. Velerie, Guru Inspirasi Pendidikan Khas

By 8 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Bidang pendidikan khas merupakan tunjang penting dalam sistem pendidikan yang menyediakan peluang sama rata kepada anak-anak berkeperluan khas untuk berkembang dan mencapai potensi maksimum mereka.

Melalui pendekatan yang inklusif dan berdaya tumpu, pendidikan khas memastikan setiap murid dengan keperluan khusus mendapat bimbingan yang sesuai dari kemahiran asas hingga aspek akademik dan sosial.

Dr . Valerie ketika sesi temu bual bersama Pegawai Penerangan, Sunday Grace dalam program iNSPO@JAPEN.

Berpegang teguh kepada prinsip miracles do happen (keajaiban memang berlaku) guru Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau Dr. Velerie Wheelervon Primus, 35, antara sosok pendidik di Malaysia yang berusaha keras memartabatkan hak dan akses pendidikan kepada anak-anak istimewa ini.

Beliau berjaya membangunkan bilik multisensori dilengkapi dengan tiga ruang khas untuk terapi bermain, bilik Newsland, serta ruang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan digital sebagai pedagogi untuk melatih kemahiran motor kasar dan halus dalam skop pendidikan khas.

“Melalui pembangunan bilik multi-sensori saya telah melatih kemahiran motor kasar dan halus untuk murid berkeperluan khas. Kami melihat peningkatan yang besar, anak-anak ini kini boleh membaca, bertutur dengan baik dan mengurus diri mereka sendiri.

“Impak bilik multisensori ini sangat besar iaitu daripada 49 murid di bawah jagaan saya, lebih 10 orang kini dapat bersaing di aliran perdana setelah menunjukkan peningkatan dalam kemahiran mereka,” katanya ketika program iNSPO@JAPEN Jabatan Penerangan Sabah di sini pada Rabu.

Berpasakkan semangat untuk membangunkan anak bangsa tanpa prejudis, platform pembelajaran dan pengajaran yang diperkenalkannya itu berjaya mengangkat beliau sebagai pemenang anugerah Malaysia Teacher Prize 2024 pada 19 Oktober lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Geraldine Voo menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Velerie disaksikan Sunday.

Jelasnya, anugerah tersebut bukan sahaja satu pengiktirafan dalam dunia pendidikan khas, tetapi juga simbol perjuangannya untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih baik bagi masa depan murid berkeperluan khas di seluruh Malaysia.

“Mari kita bersama-sama berganding bahu membentuk karakter anak-anak kita, kerana keajaiban akan sentiasa berlaku apabila kita percaya pada kemampuan diri kita dan anak-anak ini,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda