Laporan/Foto: Noorshazana Shaadan/Mohd Shaharuddin Suratman
PORT DICKSON, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Tema ‘Pantai Negara, Tanggungjawab Bersama’ dipilih bagi mempromosikan Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan Persisiran Pantai Bertaraf Antarabangsa.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datk Seri Utama Aminuddin Harun, berkata Port Dickson juga telah ditetapkan sebagai Bandar Pantai Peranginan Negara dan Zon Wellness dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045.
“Beberapa kawasan persisiran pantai Port Dickson juga dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang perlu dipelihara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan 2024 di Pantai Cahaya Negeri, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk TPr. Dr. Alias Rameli, berkata di peringkat persekutuan, Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara 2 (RFZPPN-2) adalah dokumen perancangan spatial bagi persisiran pantai Malaysia dan berperanan dalam kelestarian zon persisiran pantai yang bermanfaat untuk generasi kini dan masa depan.
Tambahnya lagi, zon persisiran pantai yang dinamik, menjadi tumpuan kepada pelbagai interaksi ekosistem yang kompleks, termasuk sinergi antara sistem alam semula jadi, fizikal dan aktiviti manusia.
Pada majlis itu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut menerima geran khas sebanyak RM400,000 bagi pelaksanaan Projek Bandar Pintar tahun 2025.
-ZS-