Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Jualan Agro MADANI yang berlangsung di Peladang Outlet berhampiran Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang, di sini mendapat sambutan hangat warga tempatan.
Program di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini menawarkan beberapa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak paket, gula, tepung gandum dan bihun dijual dalam bentuk kombo dengan harga serendah RM40 terhad kepada satu kombo setiap orang.
Sebanyak 300 set kombo barangan keperluan harian telah terjual hanya dalam tempoh tiga jam selepas dibuka bermula seawal pukul 8.00 pagi tadi.
Menurut Pengurus Besar PPK Kubur Panjang Mohammad Zaidi Aziz, program seperti ini merupakan kali yang keempat diadakan pada tahun ini.
“Lebih menarik lagi, pada jualan kali ini dengan setiap belian RM40 akan menerima baucar RM5 untuk belian barangan lain di Peladang Outlet,” jelasnya.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kubor Panjang Baharom Bahkhori, memaklumkan bahawa program ini telah dihebahkan melalui 39 orang Ketua Unit Peladang sekitar kawasan berhampiran bagi mengajak orang ramai datang mendapatkan barangan keperluan mereka.
“Kami amat berharap agar program seperti ini diadakan lebih kerap dan dipelbagaikan lagi jualan seperti hasil-hasil pertanian tempatan termasuklah ikan, daging serta bahan basah yang lain.
“Selain itu, Jualan Agro MADANI ini juga dapat membantu meningkatkan ekonomi usahawan dan penduduk tempatan,” ujarnya.
-ZS-