Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan siasatan apabila tular video memaparkan pekerja sebuah restoran membeli sejumlah minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi baru-baru ini.
Susulan itu, serbuan dijalankan terhadap sebuah pasar raya dan sebuah restoran nasi kandar di Sungai Buloh, semalam.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata pihaknya menubuhkan dua pasukan terdiri daripada tujuh anggota penguatkuasa KPDN Selangor berpakaian preman.
“Dalam serbuan di pasar raya, hasil rakaman percakapan pengurus pasar raya dan siasatan awal, mendapati wujud rekod pembelian oleh tiga pekerja restoran nasi kandar tersebut.
“Pembelian dibuat secara perseorangan dengan masing-masing mengambil dua minyak paket sahaja iaitu masih dalam had pembelian yang dibenarkan. Pengurus pasar raya percaya dengan had pembelian tersebut dibeli untuk kegunaan sendiri pelanggan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati pasar raya itu memiliki dan menyimpan bekalan stok secara tidak melebihi kuantiti yang dihadkan.
Jelasnya, pengurus pasar raya berkenaan diberikan peringatan supaya mematuhi peruntukan perundangan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 ketika menjalankan urus niaga runcit khasnya membabitkan barangan kawalan berjadual.
Di samping itu, serbuan serentak turut dijalankan pasukan kedua di restoran nasi kandar yang lokasinya berhampiran dengan pasar raya yang diserbu pasukan pertama.
“Hasil pemeriksaan mendapati pihak premis tidak menggunakan minyak masak paket satu kg.
“Pemeriksaan lanjut juga menjumpai bekalan minyak masak botol lima kg sahaja di bahagian penyimpanan stok dan dapur,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan tiga lelaki dipercayai warga asing memakai baju bertulisan nama restoran nasi kandar membawa troli bakul berisi beberapa paket minyak masak bersubsidi satu kg.
-ZS-