Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah yang diadakan di Penview Convention Centre, di sini bersempena Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 pengunjung serbu Jualan Rahmah pada hari pertama penganjurannya.
Menurut Pengurus Stor Everise Cawangan Padungan Chiam Han Chiau, 39, beliau tidak menjangkakan Program Jualan Rahmah kali ini mendapat sambutan yang amat luar biasa.
“Ia menyaksikan seramai lebih daripada 1,000 pengunjung hanya pada hari pertama sahaja sejak ia dibuka pada jam 9.00 pagi tadi sehinggalah ke jam 8.00 malam ini,” katanya ketika ditemu bual semalam.
Salah seorang pengunjung yang ditemui seorang suri rumah, Nazrah Musa, 35, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Program Jualan Rahmah kerana harga murah yang ditawarkan kepada pengguna.
“Harga yang ditawarkan memang jauh lebih murah, biasanya saya membelanjakan sebanyak RM200 untuk membeli keperluan rumah tetapi pagi ini cuma dalam RM130 sahaja.
‘Saya tiba pada jam 9 pagi dan berbaris selama lebih kurang satu jam setengah tapi bagi saya ia amat berbaloi,” katanya yang berharap Program Jualan Rahmah seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
-AA-