Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 4 Nov ( Malaysiaaktif ) – Pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) berjaya meningkatkan kecekapan pengendalian kargo dan perkhidmatan pelabuhannya di Labuan Liberty Wharf.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata pemulihan pengendalian kargo pantas pelabuhan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik penting di rantau ini.
“Kecekapan operasi MPM menanam keyakinan pemain industri perkapalan, yang kini melihat Labuan Liberty Wharf sebagai pelabuhan pengendalian kargo boleh dipercayai serta menarik lebih banyak trafik kapal dan memainkan peranan penting dalam sektor maritim Malaysia,” katanya pada sesi lawatan kerjanya ke Pelabuhan Labuan di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong, berkata evolusi pelabuhan itu mencerminkan usaha pihak berkepentingan yang bekerjasama dengan mereka.
“Peralihan pelabuhan kepada operasi 24 jam membolehkan peningkatan produktiviti selain bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam memulihkan keyakinan syarikat perkapalan terhadap keupayaan Labuan terutama semasa cabaran COVID-19 sebelum ini,” ujarnya.
-AA-