Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Tiga Strategi Jadikan LTC Terus Mampan

By 4 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Kelab Toastmasters Labuan (LTC) menggariskan tiga strategi bagi menjadikan kelab itu terus berkembang dan mampan.

Menurut Presidennya, Azhar Othman strategi pertama adalah memperbanyakkan penglibatan dengan komuniti setempat.

Azhar (empat dari kiri) menyempurnakan acara memotong kek.

“Untuk meningkatkan keahlian, kami merancang untuk mengadakan aktiviti dengan komuniti terutamanya golongan muda yang paling berpotensi mendapat manfaat daripada Toastmasters. Kedua adalah untuk mengembangkan simpanan kewangan dengan menganjurkan acara yang lebih besar dan lebih berimpak seperti bengkel, pertandingan pidato dan forum kepimpinan.

“Akhir sekali adalah mempunyai pelan penggantian pemimpin yang mampu dan bersedia untuk memimpin kelab kerana kadangkala kami tidak dapat mencari pelapis untuk mengganti barisan kepimpinan yang lama,” katanya semasa Majlis Instalasi Dan Sambutan Ulangtahun ke-30 LTC, di sini kelmarin.

Azhar turut menyeru ahli-ahli LTC mempunyai semangat dan keberanian untuk menjadi individu yang lebih cemerlang.

“Berani untuk cemerlang bermaksud mempunyai keberanian untuk bersuara atau bertindak, keluar dari zon selesa anda, melakukannya walaupun dengan ketakutan sendiri dalam mencapai kecemerlangan terutamanya apabila orang lain tidak mempunyai keberanian.

Para ahli LTC bergambar kenangan.

“Ia bermaksud menyedari usaha yang diperlukan dan halangan yang mungkin anda hadapi serta masih bersedia untuk bangkit jika menemui kegagalan,” jelasnya.

Beliau turut mengajak masyarakat di luar sana untuk menyertai Kelab Toastmasters Labuan kerana LTC merupakan sebuah komuniti yang meriah dengan individu-individu yang berani bermimpi besar serta menggalakkan anda untuk melangkah keluar dari zon selesa, menerima peluang baru dan membina pemikiran yang berorientasikan kejayaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda