Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Bagi membudayakan amalan kitar semula di peringkat akar umbi terutamanya pelajar sekolah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Perlis yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bermula di peringkat kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed, berkata penganjuran pada tahun ini merupakan tahun yang ke-10 kolaborasi SWCorp bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis selaras dengan Dasar Kebersihan Negara iaitu melaksanakan promosi dan program kesedaran kebersihan dan amalan 3R di institusi pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Apresiasi Pembudayaan Kitar Semula Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, di sini semalam.
SWCorp juga telah melaksanakan Program Taman Inspirasiku pada 24 November lalu dengan penglibatan komuniti setempat di mana pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pertandingan mewarna, Trash to Cash dan Treasure Recycle di mana para pemenang turut diraikan pada program hari ini.
Pada tahun ini, 41 buah sekolah telah menyertai pertandingan ini di mana sebanyak 42,514.32 kilogram barangan kitar semula telah berjaya dikumpul oleh para pelajar serta warga sekolah.
Sekolah Rendah Islam 1 telah memenangi Kategori Utama Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra pula telah merangkul hadiah bagi Kategori Utama Sekolah Menengah.
“Ini membuktikan bahawa para pelajar dan warga sekolah telah membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan dan diharap mereka dapat juga mempengaruhi ibu bapa dan ahli keluarga dalam membudayakan amalan kitar semula,” ujarnya.
Jelas Khalid lagi, antara inisiatif lain yang dilaksanakan oleh SWCorp adalah dengan membangunkan fasiliti kitar semula iaitu Drive-thru
Recycle Centre (DTRC) di dua lokasi di negeri Perlis iaitu di Pasar Awam Sena yang telah mula beroperasi pada April 2021 serta di Pasar Awam Arau yang beroperasi pada Jun 2022.
“Sepanjang pengoperasian DTRC sehingga kini, peningkatan jumlah kutipan barangan kitar semula yang diasingkan dan di kitar semula ialah sebanyak 408 tan berbanding 104 tan pada tahun 2021,” katanya.
-ZS-