Laporan/foto: Ahmad Syafri Husnaini/ATM
DUNGUN, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan operasi pemindahan mangsa banjir dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke kediaman mereka di sekitar Kampung Belimbing, di sini hari ini.
Operasi ini berlangsung antara pukul 8.30 hingga 10.45 pagi tadi diketuai oleh Mejar Mohd Fahmizal Zamri.
Menurut Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz, operasi ini dilakukan setelah paras air di kediaman mangsa telah surut sepenuhnya dan PPS Masjid Jamek Kampung Jongok Batu telah ditutup.
“Mangsa yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas berkerusi roda memerlukan bantuan untuk kembali ke kediaman mereka dengan selamat.
“Kami sentiasa bersedia untuk membantu rakyat dalam menghadapi bencana dan dengan bantuan anggota tentera kami memastikan mangsa banjir dapat pulang ke rumah mereka dengan selamat,” katanya.
-ZS-