Laporan/foto: Ahmad Syafri Husnaini/FELDA Wilayah Timur
BESUT, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Satu lawatan pasca banjir oleh pasukan FELDA Wilayah Timur telah diadakan di Felda Tenang, di sini kelmarin.
Lawatan ini melibatkan ziarah ke rumah peneroka-peneroka di sekitar FELDA Tenang yang terjejas akibat banjir, serta penyampaian bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi FELDA Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab, antara aktiviti utama yang dijalankan adalah pembersihan di tiga buah rumah peneroka dengan bantuan sukarelawan MYSAFE.
“Program ini bertujuan untuk memastikan setiap peneroka yang terkesan dapat bantuan segera serta membantu membersihkan rumah dan kawasan sekitar agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas kejadian banjir.
“Selain itu, penghantaran bantuan banjir dan pembersihan kawasan sekitar juga dilakukan bersama-sama komuniti peneroka serta generasi FELDA setempat,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai simbol sokongan, seramai 15 buah kenderaan Hilux FELDA telah mengiringi konvoi ‘Masih Ada Yang Sayang ke FELDA Tenang.
Turut hadir Pengarah FELDA Wilayah Terengganu Shahruddin Abd Rahman.
-ZS-