Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Projek membina laluan baru Jalan Kampung Rahmat merentasi Estet Sri Gading telah berjaya siap sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM3.8 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata jalan baru dua lorong ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada orang awam sebagai laluan pintas tanpa melalui jalan Bandar Batu Pahat.
“Ianya dapat mengurangkan tempoh masa perjalanan kenderaan hampir 25 minit di samping jarak pergerakan dapat dikurangkan sehingga kira-kira 10 kilometer tanpa melalui bandar Batu Pahat.
“Beberapa siri rancangan dan inisiatif telah disusun oleh Kerajaan Negeri bagi menaik taraf laluan ini sebagai memenuhi permintaan rakyat dan penduduk yang bukan sahaja memastikan aspek keselamatan jalan raya bahkan memberi kelancaran trafik dan keselesaan kepada pengguna,” katanya ketika merasmikan Penyerahan Projek Membina Laluan Baru Jalan Kampung Rahmat Merentasi Estet Sri Gading, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, laluan baru ini turut dilengkapi penyediaan trafik jalan, lampu jalan termasuk menaiktaraf sistem perparitan dan persimpangan Jalan Tan Swee Hoe Jalan Parit Besar.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Parit Raja Nor Rashidah Ramli dan ADUN Senggarang Mohd Yusla Ismail.
-ZS-