Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) Inklusif Negeri Perak 2024 menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada golongan istimewa ini demi memastikan mereka berjaya menembusi pasaran pekerjaan masa kini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed, golongan istimewa ini sama sekali tidak akan dipinggirkan.
“Mereka berhak mendapat layanan seperti golongan normal maka, usaha untuk menganjurkan karnival ini amat baik sekali.
“Tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting untuk penganjuran program ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan program di AEON Mall Taiping, kelmarin.
Sebanyak tujuh buah syarikat telah membuat sesi temuduga terbuka dan penyertaan menggalakkan diterima daripada kira-kira 200 pengunjung yang hadir bersama keluarga.
“Syarikat-syarikat ini diingatkan agar tidak mengambil kesempatan ke atas golongan ini kerana emosi mereka perlu dijaga untuk memastikan mereka sentiasa gembira semasa bekerja,” katanya.
Mereka yang berjaya dalam temuduga akan mula bekerja selewat-lewatnya bulan Januari nanti.
-ZS-