Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Norhazliza Mod Din
GUA MUSANG, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI Limau Kasturi dengan kerjasama Pejabat Penerangan, Persatuan Kebajikan Rakyat (PANTAS) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Gua Musang, telah menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Balai Raya Kampung Serian Batu 1, di sini kelmarin.
Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong masyarakat yang terkesan oleh banjir, terutamanya di kawasan-kawasan yang sukar diakses.
Pengerusi MADANI Limau Kasturi Mohd Hanafiah Ibrahim, berkata bantuan ini penting dalam meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Kebanyakan ahli komuniti kami terdiri daripada penoreh getah yang sangat terkesan oleh musim banjir, kerana mereka tidak dapat menjalankan aktiviti menoreh disebabkan jalan-jalan yang dinaiki air.
“Kami bersyukur dengan keprihatinan yang diberikan oleh agensi kerajaan dan badan sukarelawan,” katanya.
Ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Limau Kasturi Nor Hafabaain Mohd Ropi, 38, turut meluahkan rasa terima kasih atas bantuan bakul makanan yang diterima terutamanya di kawasan pedalaman yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan.
“Kami memang terputus hubungan dengan jalan utama kerana jambatan telah dinaiki air dan kami bergantung sepenuhnya pada makanan yang ada.
“Walaupun kami sentiasa bersedia dengan bekalan makanan untuk menghadapi musim banjir, kami bimbang jika air tidak surut, bekalan makanan mungkin akan berkurangan,” ujarnya.
-ZS-