Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI 3 Dis (Malaysiaaktif) – Projek Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM10.8 juta bagi tujuan pembinaan 140 stesen-stesen hujan, aras air, siren, kamera web dan kadar alir di seluruh negeri Kedah.
Menurut Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Kedah Ir. Ahmad Solihin Budarto, sistem ini juga berupaya meramal kejadian banjir monsun seawal tujuh hari berdasarkan data ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia selain meningkatkan keupayaan sistem amaran dan hebahan banjir monsun dari enam jam kepada dua hari lebih awal kepada agensi dan penduduk yang terlibat dengan banjir bagi mengurangkan risiko berkaitan banjir.
“Program PRAB ini akan mengurangkan risiko kerugian harta benda ketika Negeri Kedah terkesan dengan kejadian banjir musim monsun peralihan dan turut menerima tempias kejadian banjir Monsun Timur Laut pada bulan November dan Disember.
“Dengan adanya sistem ini, ia dapat memberi tempoh masa yang mencukupi untuk agensi dan penduduk bertindak awal menghadapi banjir,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) yang diadakan di sebuah hotel, di sini kelmarin.
-ZS-