Laporan/foto: Mohd Sukri Othman/Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Suasana sedih yang menyelubungi mangsa banjir di daerah ini bertukar ceria dengan kunjungan Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda berkenan melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasik dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, baginda menerima penerangan mengenai situasi semasa banjir di kawasan berkenaan daripada Pegawai Daerah Kemaman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kemaman Fadli Yusof Zakaria dan turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di kedua-dua pusat pemindahan tersebut.
Selain itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kit makanan yang mengandungi barang-barang keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terjejas di PPS tersebut.
Seorang mangsa banjir Zaimah Abdullah, 80, meluahkan rasa terharu dan gembira dengan kunjungan dan sumbangan yang diterima.
“Ini kali kedua rumah kami dinaiki air tahun ini dan sumbangan ini memberikan kami semangat baru untuk pulih dari ujian ini,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang sedang hamil tiga bulan Nur Asyikin Mat Nawi, 21, turut melahirkan rasa syukur atas perhatian yang diberikan.
“Bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban kami akibat kehilangan harta benda,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan) Datuk Ab Rasid Jusoh.
-ZS-