Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 9 Dis ( Malaysiaaktif ) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menghargai peranan yang dimainkan agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi di Labuan dalam melaporkan usaha kerajaan membangunkan wilayah itu.
Menurutnya, banyak laporan berita tentang Wilayah Persekutuan khasnya Labuan mendapat penerimaan yang baik daripada rakyat.
“Berbanding sebelum ini berita-berita mengenai Labuan tidak begitu mendapat perhatian tetapi akhir-akhir ini kita nampak orang ramai berminat ingin tahu perkembangan Wilayah Persekutuan khasnya Labuan.
“Saya berterima kasih kepada rakan media khasnya di bawah Kementerian Komunikasi yang selalu mengeluarkan berita dari sudut positif serta penyampaian yang berkesan dan perkara ini perlu diteruskan,” katanya semasa melawat Kompleks Kementerian Komunikasi Labuan, semalam.
Jelasnya kejayaan sesebuah kerajaan amat bergantung kepada segala usaha yang dilaksanakan terhadap rakyat.
“Banyak usaha telah dilaksanakan dan nampak hasilnya walaupun masih banyak ruang untuk diperbaiki.
“Usaha Kementerian Komunikasi ini membolehkan rakyat sedar dengan segala usaha kerajaan untuk memajukan Labuan sekaligus mengajak mereka untuk bersama memberi sokongan dengan usaha yang dilaksanakan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, program-program komuniti yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi boleh diperluaskan dengan memperkukuh kerjasama dengan agensi lain khasnya Perbadanan Labuan.
-AA-