
Laporan/ foto: Nurul Ain Kamil/ Shamsul Bahari Abdul Shukor
KOMTAR, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Senyuman terukir di wajah pasangan adik-beradik Nur Nadia dan Nur Jannah Motaleb, apabila menerima bantuan persekolahan menerusi Program Kembali ke Sekolah Bersama Anak-Anak Pulau Pinang anjuran Pertubuhan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan (KASIH Malaysia) dan Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM).

Nur Nadia Motaleb (tengah) menyatakan rasa teruja terima sumbangan kepada wartawan sambil diperhatikan adiknya, Nur Jannah (kanan)
Nur Nadia, 13, anak kedua daripada empat beradik mengakui pengalaman ini cukup bermakna bagi mereka sebagai penghuni Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang setelah kehilangan ayah pada usia muda.
“Kebiasaannya warden yang beli kelengkapan sekolah untuk kami, tapi tahun ini sedikit istimewa dan sudah semestinya kami lebih bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” katanya sambil tersenyum.
Turut berkongsi keterujaan adalah T. Deepkha, 13, penghuni Pusat Jagaan Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) Pulau Pinang, meluahkan rasa syukur dapat menghadiri program ini.
“Walaupun saya tinggal di CPS kerana diabaikan oleh ibu bapa, saya bersyukur kerana masih ada nenek yang mengambil berat tentang saya,” katanya yang gembira dapat mengenali rakan-rakan lain di sini.
Tambah Deepkha, sumbangan yang diterima menjadikannya lebih optimis untuk mencapai kejayaan dan ingin belajar dengan lebih cemerlang.

Pengetua Pusat Jagaan Penang Chinese, Stella Sauw Teik Looi (kanan) berharap sumbangan ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan
Pengetua Pusat Jagaan Penang Chinese, Stella Sauw Teik Looi, 40, menyifatkan program ini sebagai langkah murni apatah lagi ia merupakan jemputan pertama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang kepada pusat jagaan tersebut.
“Dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang hampir tiba, bantuan ini bukan sahaja menggembirakan hati anak-anak tetapi juga meringankan beban ibu bapa mereka,” katanya.
Seramai 300 kanak-kanak menerima sumbangan berupa beg sekolah, alat tulis serta wang tunai dalam program yang berlangsung di Dewan Banquet The Top, di sini, semalam.
Program ini dirasmikan oleh Pengerusi KASIH Malaysia Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dengan diiringi Puan Tan Lean Kee, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara.
-AA-