
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak bukan sahaja memberi peluang peluang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan diri melalui seni, tetapi juga menggalakkan perkembangan daya imaginasi dan kreativiti mereka.
Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak anjuran AS Cafe & Bakery berjaya menarik minat komuniti setempat dengan penyertaan kanak-kanak dari dua kategori umur mempamerkan bakat dan kreativiti mereka.
Uniknya pada penganjuran kali ini, para ibu bapa turut diberikan peluang untuk berentap sesama sendiri sebagai usaha untuk mengukuhkan semangat kekitaan dalam komuniti.

Aryan bersama sijil dan hadiah yang dimenanginya.
Bagi adik Awangku Aryan Rafiqi Awangku Marzuki, 11, dia meluahkan rasa syukur kerana meskipun tidak menjuarai pertandingan ini, beliau masih berjaya tergolong dalam senarai top 10.
“Pada mulanya hanya ikut pertandingan mewarna secara suka-suka namun setiap edisi pertandingan saya tidak pernah balik tangan kosong, membuatkan saya lebih bersemangat untuk membawa pulang hadiah utama.
“Melalui pertandingan seperti ini, saya juga dapat bertemu dengan rakan-rakan baru yang mempunyai minat sama dalam seni. Ia membuatkan pengalaman ini lebih bermakna dan menyeronokkan,” ujarnya ketika ditemui pada program tersebut di Supermarket Sthamin Hilltop, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Hazima Momin, 37, memuji usaha pihak penganjur yang memberikan peluang kepada ibu bapa untuk turut serta sekali gus menunjukkan komitmen penganjur dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim antara peserta, keluarga dan komuniti setempat.

Antara anak-anak yang menyertai pertandingan mewarna.
“Syukur Alhamdulillah, meski hanya beroleh tempat ketiga, ianya sudah pencapaian terbaik kerana tujuan sebenarnya adalah datang untuk memberikan sokongan kepada anak-anak bertanding, namun penganjur telah membuat kejutan untuk memberikan ruang dan peluang kepada para ibu bapa untuk turut serta menjayakan program ini.
“Saya berharap program seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap, kerana ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak melalui aktiviti bersama,” katanya.
Untuk makluman pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun itu turut menerima hadiah bernilai yang terdiri daripada wang tunai, sijil penyertaan dan hamper bagi setiap kategori.
-ZS-