
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Asrul Affandi Saflie@Awang Safre (Sabah)
SEMPORNA, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Program Info on Wheels (IOW) anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Semporna dilihat sebagai medium komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan maklumat terkini dasar-dasar kerajaan secara langsung khususnya komuniti di pedalaman.
Penduduk Kampung Kabogan Muhd. Ali Usman, 58, menyifatkan program IOW sebagai pendekatan yang tepat dan pantas untuk mempromosikan dasar-dasar terkini kerajaan yang menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat.

Mohamma Syah (kiri) mengedarkan bahan penerbitan kepada Muhd. Ali pada program IOW di Kampung Kabogan, Semporna.
Beliau berharap Program IOW ini dibudayakan agar pelaksanaannya terus konsisten dengan fokus utama untuk memudahkan penduduk luar bandar mendapatkan maklumat terkini secara bersemuka, lebih jelas dan sahih.
“Saya suka cara pegawai Jabatan Penerangan datang sendiri ke kampung untuk memberikan penjelasan dan ini sangat membantu kami memahami dasar-dasar kerajaan seperti intipati Belanjawan 2025.
“Kadang-kadang, kami tidak tahu bagaimana dasar ini boleh memberi manfaat, tetapi dengan program seperti ini, semuanya jadi lebih jelas dan berharap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kampung pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui semasa Program IOW di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna Mohamma Syah, berkata program IOW masih relevan dan diperlukan terutama di kalangan penduduk luar bandar untuk memahami naratif dasar kerajaan dengan lebih baik.

Penduduk Kampung Kabongan menerima penerangan daripada Mohamma Syah tentang naratif dasar-dasar kerajaan.
“Melalui program IOW, maklumat yang tepat dapat disampaikan terus kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Walaupun teknologi kini memudahkan capaian maklumat, masih ada masyarakat yang memerlukan penjelasan secara langsung,” katanya.
Menurutnya lagi, Penerangan Daerah Semporna sentiasa komited untuk memastikan naratif dasar kerajaan dapat difahami oleh semua pihak.
“Program ini dilihat sebagai salah satu cara terbaik untuk menjangkau setiap lapisan masyarakat di kawasan luar bandar.
“Program ini akan dilaksanakan secara konsisten setiap minggu dan antara maklumat yang diketengahkan termasuk intipati Belanjawan 2025 serta dasar-dasar baharu lain yang telah diperkenalkan oleh kerajaan,” ujarnya.
-RJ