
Laporan/foto: Rahman Ishak
PUTRAJAYA, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian akan menumpukan universiti-universiti awam di seluruh negara sebagai kempen permulaan jelajah tersebut.
“Saya harap kita dapat fokus kepada universiti-universiti awam sebagai permulaan.
“Kita jemput rakan-rakan, para pelajar dari (dalam) kalangan Majlis Perwakilan Pelajar untuk mereka terlibat menjadi tenaga yang mampu membawa kempen ini ke seluruh pelusuk kampus masing-masing di seluruh negara diikuti usaha kita untuk membawa kempen ini ke sekolah-sekolah,” katanya.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil, berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baru 2025 di Perhimpunan Bulan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Menurutnya, kempen keselamatan dalam talian perlu membina beberapa modul yang melibatkan pelbagai pihak.
“Jadi dalam perbincangan saya dengan beberapa pihak, pada program di UMK baru ini, wakil dari (daripada) TikTok hadir.
“Saya dimaklumkan rakan-rakan daripada Shopee juga sedia untuk bersama dan sudah pasti semua platform yang telah kita berjaya lesenkan dan yang lain juga sedia untuk bantu,” katanya.
Kelmarin, Fahmi Fadzil telah melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan yang juga bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian.
“Usaha ini perlu dengan kerjasama Komuniti MADANI bawah Jabatan Penerangan, NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) bawah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“Saya lihat kita perlu libatkan juga sekumpulan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk bantu kerana kita perlu hantar satu mesej yang jelas iaitu kita bukan hanya mahukan Internet yang lebih murah, yang lebih laju, yang lebih meluas tapi paling penting lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” katanya.
-RI