Laporan/foto: Zayana Isa/KPDN Pahang
KUANTAN, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis restoran yang menggunakan minyak masak paket bersubsidi, di sini semalam.
Menurut Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin anggota penguatkuasaan bertindak atas aduan yang mengatakan premis tersebut menggunakan minyak masak paket bersubsidi dalam menjalankan perniagaan.
“Hasil serbuan sebanyak 112 kilogram minyak masak ditemui di dalam premis yang melebihi had simpanan yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ujarnya lagi, hasil yang ditemui turut disita bersama dokumen-dokumen perniagaan lain yang berkaitan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu memiliki barangan kawalan berjadual melebihi had yang disyaratkan.
KPDN Pahang turut mengingatkan individu atau mana-mana syarikat supaya mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
-ZS-