Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
PUTATAN, 9 Jan (MalaysiaAktif) – Rakyat Sabah menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2025 menekankan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu mendesak yang dihadapi oleh rakyat.
Dari tinjauan yang dilakukan, langkah seperti penambahan peruntukan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peluasan Jualan Rahmah serta usaha menyelesaikan masalah banjir dilihat sebagai isu yang tepat untuk diberi keutamaan.
Bagi Suri Rumah, Noor Azizah Sazali, 50, beliau percaya penambahan peruntukan untuk bantuan seperti STR dan SARA akan mengurangkan beban lebih ramai keluarga yang berpendapatan rendah termasuk mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan.
“Dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, bantuan SARA misalnya masih sangat diperlukan untuk kami membeli barangan asas seperti makanan dan keperluan sekolah anak-anak selain itu ada yang menggunakan bantuan STR sebagai modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
Manakala bagi Erwan Roslan, 44, sebagai ketua isi rumah, beliau berpendapat wujudnya keperluan untuk kerajaan meningkatkan penganjuran Jualan Rahmah di kawasan luar bandar bagi memudahkan akses kepada penduduk yang tiada pengangkutan sendiri untuk membeli barangan keperluan harian.
“Program ini amat bermanfaat untuk rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. Jika dilaksanakan di kampung, lebih ramai orang dapat membeli barang asas dengan harga murah tanpa perlu ke bandar kerana bukan semua orang kampung ada kemudahan pengangkutan atau mampu ke bandar untuk mendapatkan barang murah,”ujarnya ketika ditemu bual semalam.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Muhibbah, Nazri Yassin, 47, pula menekankan keperluan mempercepatkan pembinaan infrastruktur, terutamanya jalan raya yang penting sebagai pemangkin ekonomi sesebuah kawasan dan negeri.
“Tidak dinafikan masih ada infrastruktur jalan raya yang masih belum memuaskan, dan inilah yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan agar tempoh pembinaannya disegerakan untuk memudahkan pergerakan harian rakyat dan dalam masa yang sama menarik lebih ramai pelancong datang terutamanya dari Indonesia, Sarawak dan Brunei,” jelasnya.
Mengenai isu banjir, Zulfadli Ismail, 40, pasti bahawa kerajaan mempunyai mekanisme terbaik untuk mengurangkan impak buruk bencana banjir yang turut dialami rakyat di negeri Sabah saban tahun.
“Banjir bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian harta benda namun juga kehilangan nyawa. Jika kerajaan boleh melaksanakan langkah segera seperti memperbaiki sistem saliran dan sungai, ia akan mengurangkan beban rakyat dan memastikan keselamatan kawasan perumahan serta perniagaan.
“Kami sebagai rakyat hanya berharap agar tindakan ini dilakukan dengan cepat dan menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian sementara dengan memperkenalkan inisiatif seperti sistem amaran awal atau memperbanyakkan program kesedaran mengenai langkah persediaan menghadapi banjir,” ujarnya ketika mengakhiri temu bual semalam.
-RJ-