
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul
KUANTAN, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 65 pasangan bertuah menerima surat tawaran tajaan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dari Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), di sini semalam.

Tunku Azizah berkenan memotong pulut kuning sempena Ulang Tahun Yayasan TAFF ke-20.
Pasangan Salahuddin Alaayubi Nawawi, 40, dan Zahidah Zainudin, 32, dari Jelebu, Negeri Sembilan menzahirkan rasa kesyukuran apabila menerima tawaran berkenaan dari TAFF.
“Kami membuat permohonan pada tahun 2020 dan pada mulanya terkejut juga apabila dimaklumkan mengenai tawaran ini kerana sememangnya pada tahun ini kami suami isteri berhasrat untuk meneruskan rawatan,” kata Zahidah ketika ditemui Malaysia Aktif.
Pasangan yang telah mendirikan perkahwinan sejak 10 tahun lalu turut memaklumkan pelbagai ikhtiar rawatan telah dibuat dalam usaha mendapatkan zuriat.
“Selama 10 tahun ini pelbagai ikhtiar telah kami usahakan namun belum ada rezeki, saya sudah reda dan berserah kepada-Nya,” ujar Zahidah.
Sementera itu Salahuddin pula turut berkongsi perasaan ketika bersama kawan-kawan yang menceritakan perihal anak masing-masing.

Pasangan suami isteri Salahuddin dan Zahidah menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yayasan TAFF.
“Sebagai pasangan yang berkahwin, semestinya naluri untuk memiliki zuriat itu ada, namun saya latih hati saya untuk sabar dan alhamdulillah kali ini diberi peluang untuk membuat rawatan di bawah tajaan TAFF,” katanya.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Iskandariah berkenan bercemar duli dan menyerahkan sendiri surat tawaran kepada 65 pasangan suami isteri yang akan menjalani rawatan IVF secara percuma.
Tunku Azizah merupakan Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup Yayasan TAFF menzahirkan rasa syukur dan mendoakan agar rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan Allah memakbulkan.
-ZS-