Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

APM Hulur Bantuan, Ringankan Beban Penduduk Taman Maharani

By 12 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

TELUK INTAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hilir Perak dengan bantuan APM Bagan Datuk berkerjasama menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat kekurangan bekalan air bersih di Taman Maharani, di sini kelmarin.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Kapten (PA) Mohd Affindi Ishak, bantuan dihulurkan dengan menyalurkan air sungai yang telah disuling dengan menggunakan Mobile Water Filtration System (MWFS) yang dihasilkan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).

Penduduk Taman Maharani bekerjasama memindahkan tong air ke atas motosikal penduduk.

“Dengan menggunakan mesin MWFS ini dianggarkan sehingga 1,000 liter air dapat dibekalkan kepada penduduk dalam satu jam pertama penggunaannya dan diharap bantuan yang dihulurkan ini akan mengurangkan kegelisahan penduduk yang memerlukan bantuan bekalan air bersih.

“Lokasi pertama bantuan dihulurkan kepada penduduk Taman Maharani dan disekitar Jalan Maharajalela bermula tengah hari dan lokasi seterusnya adalah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.

“Pemilihan Taman Maharani sebagai lokasi pertama disebabkan kedudukannya berdekatan dengan punca air iaitu Sungai Perak yang kedudukannya kurang 400 meter dari lokasi kediaman penduduk,”ujarnya

Sementara itu Bhaskaran Arumugam, 56, berkata penduduk Taman Maharani sukar untuk mendapatkan bantuan bekalan air bersih kerana lokasi penghantaran terletak lebih 500 meter dari kediaman.

“Jadi saya berasa gembira APM berada di kawasan taman ini, kerana lokasi bantuan sebelumnya dibuat di Sekolah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota sehingga menyukarkan kami untuk membawa air bersih pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya.

Mat Jais Libar bersyukur kerana mendapat bekalan air bersih.

Pesara kerajaan Mat Jais Libar, 53, berkata masalah ketiadaan air bersih pada kali ini sukar baginya kerana selain mandi, aktiviti memasak dan mencuci pakaian turut tidak dapat dilakukan.

“Terima kasih kepada APM kerana sudi menghulurkan bantuan kepada penduduk pada saat memerlukan kerana bagi saya masalah ketiadaan air bersih pada kali ini benar-benar dirasai,” ujarnya.

Terdahulu Lembaga Air Perak (LAP) telah mengeluarkan notis gangguan bekalan air pada 6 Februari lalu bagi kerja-kerja mengesan paip bocor dan kerja pembaikan melibatkan daerah Batang Padang dan daerah Hilir Perak yang dijangka akan menjejaskan hampir 50,000 pengguna.

-ZS-

Tinggalkan komen anda