
Laporan /foto : Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Amalan mengaji al-Quran secara istiqamah merupakan rahsia kejayaan qari dan qariah yang meraih anugerah peserta terbaik Tilawah dan Hafazan sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor.

Peserta terbaik keseluruhan tilawah Khairul Zaki Razali (kiri) dan peserta terbaik keseluruhan hafazan Humairourrohmah Mastor (kanan) di majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor
Khairul Zaki, 44, yang juga merupakan Imam di Masjid Bandar Utama Batang Kali berkata, tidak menyangka dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Tilawah al-Quran pada tahun ini kerana beliau telah menyertai pertandingan ini sejak tahun 2013.
“Agak mencabar format pertandingan pada tahun ini, yang mana lagu diberikan lima minit sebelum pertandingan dan setiap peserta perlu mengalunkan bacaan masing-masing mengikut lagu yang ditetapkan.

Khairul Zaki Razali Peserta terbaik keseluruhan tilawah al-Quran mengalunkan ayat suci al-Quran sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor
“Alhamdulilah, di Selangor kita ada Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) yang banyak membantu kami mengasah dan memperbaiki lagi mutu bacaan selain saya turut meluangkan sekurang-kurangnya setengah jam sehari untuk bertaranum,” katanya.
Sementara itu, johan qariah dimenangi Humairourrohman Mastor, 22, yang pertama kali menyertai pertandingan itu terkejut ketika diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan hafazan al-Quran.
“Saya mengamalkan membaca dan menghafal al-Quran setiap pagi selepas solat subuh dan sentiasa ingat pesanan ibu menghafal al-Quran bukan semata-mata kerana ingin memasuki pertandingan,” katanya.
Humairourrohman merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda jurusan al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Selangor berasal dari Sabak Bernam.
Kedua mereka ditemui selepas Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor Tahun 1446H/2025M yang telah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Khairul Zaki berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala Humairourrohman menerima RM15,000 dan kedua-duanya turut menerima plak dan sijil.
Mereka akan mewakili Selangor ke pertandingan tilawah dan hafazan peringkat kebangsaan yang akan diadakan dari 24 April hingga 3 Mei ini di Perlis.
-AA-