
Laporan/foto: Hasbella Hasim (Kuala Kangsar)
MANONG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus memperkasa Komuniti MADANI di bawah kelolaannya dengan pendedahan teknologi serta meningkatkan taraf ekonomi melalui kemudahan dan aktiviti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Abdul Malik (kiri) ketika mendengar penerangan mengenai NADI yang dijalankan secara atas talian
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Tuan Saiful Bahari Tuan Ismail, NADI ialah inisiatif Kementerian Komunikasi dengan pelaksanaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Peserta pertandingan e-sukan Mobile Legend anjuran NADI yang turut mengikuti program pada hari tersebut
“Kerjasama kedua-duanya melalui program NADI X Komuniti MADANI menjadi platfom agar perkhidmatan yang disediakan NADI dimanfaatkan oleh ahli komuniti seterusnya membantu lebih ramai pihak mengenali NADI,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus NADI Manong Norkasmirah Abu Othman, berkata pihaknya menyambut baik usaha SKMM dan JAPEN untuk memberi pendedahan berkaitan asas penggunaan komputer kepada ahli Komuniti MADANI.
“Usaha ini secara tidak langsung membuka mata lebih ramai pihak bahawa NADI bukan sekadar menyediakan perkhidmatan penggunaan internet lebih murah malah lebih banyak keistimewaan yang bakal diterima sekiranya mereka menjadi ahli NADI.
“NADI menyediakan pelbagai kursus seperti keusahawanan, promosi bahan jualan, kelas pembelajaran dan lain-lain mengikut kehendak peserta,” katanya ketika ditemui pada Program NADI X Komuniti MADANI di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Komuniti MADANI Kampung Bekor Abdul Malik Naina Mohd pula berkongsi keterujaan selepas hadir mengikuti program di NADI tersebut.
“Banyak manfaat bakal diterima pengunjung NADI dan perkhidmatan yang disediakan mencakupi pelbagai peringkat umur.
“Agak merugikan jika melepaskan peluang menjadi ahli NADI kerana pendaftaran adalah percuma, malah saya sendiri akan mengesyorkan kesemua ahli komuniti untuk sama-sama mendaftar dan menikmati manfaat yang disediakan oleh NADI,” katanya.
-AA-