
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain (Daerah Timur laut)
SERI DELIMA, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Suasana di Taman Tun Sardon gamat dengan gelak tawa dan sorakan apabila seramai 30 kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun menyertai program berkhatan beramai-ramai, di sini semalam.

Pengerusi MPKK Taman Tun Sardon menyiram peserta dengan semburan air daripada pasukan bomba.
Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Tun Sardon dan Masjid At-Taqwa dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Perak ini turut terbuka kepada kanak-kanak pelbagai bangsa di sekitar Seri Delima dan Batu Uban mencerminkan semangat perpaduan dalam komuniti setempat.
Peserta terlebih dahulu dimandikan secara beramai-ramai dengan semburan air daripada pasukan bomba pastinya memberi kenangan manis sebelum menjalani proses berkhatan oleh doktor bertauliah.
Bagi Afif Zafran, 8, perasaan gementar pada awalnya bertukar menjadi semangat apabila melihat ramai rakan sebaya turut serta.
“Saya takut dan gementar bila dengar cerita kawan-kawan yang bersunat sebelum ini, tapi bila sampai sini ramai kawan-kawan ada jadi saya pun terus semangat dan beranikan diri,” katanya.
Pengerusi MPKK Taman Tun Sardon Zaidi Omar, 40, menekankan kepentingan berkhatan bukan sahaja dari aspek kesihatan tetapi juga peranannya dalam mengeratkan hubungan komuniti.
“Berkhatan dapat mencegah jangkitan akibat pengumpulan kuman yang boleh merebak ke saluran kencing.
“Program sebegini dapat mengukuhkan semangat kekeluargaan dan kerjasama dalam masyarakat, saya berharap ia dapat dijadikan program tahunan di Taman Tun Sardon,” katanya.
-ZS-