
Laporan/foto: Hanafi Sariman/Noor Suraya (Daerah Timur Laut)
BUKIT BENDERA, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Kecekalan dan dedikasi Almarhumah Hajah Gayah Osman dalam mendidik anak-anaknya terus mekar melalui sumbangan wakaf dua unit rumah kediaman kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kini dijadikan perpustakaan untuk manfaat masyarakat.
Menurut wakil keluarga pewakaf, Dr. Imran Abdul Khalid, 65, sumbangan ini adalah hasil kesepakatan 10 beradik yang mahu mengenang jasa ibu mereka sebagai seorang pendidik, selain membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses ilmu.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Ketua Menteri 1.
“Sebagai tanda penghormatan kepada ibu kami yang sangat menitikberatkan pendidikan, kami sepakat mewakafkan rumah keluarga ini untuk dijadikan perpustakaan awam,” katanya.
Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam satu majlis yang berlangsung di Pangsapuri Warisan, di sini semalam.
Sumbangan ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Lembaga Pengarah Wakaf MAINPP dan Lembaga Pengarah Perpustakaan Awam Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP Abdul Mohsein Mohd Shariff, berkata perpustakaan ini bukan sekadar pusat ilmu tetapi juga lambang penyatuan komuniti yang akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

Dr. Mohamad berbual dengan salah seorang pengunjung.
“Perpustakaan ini bukan hanya menyediakan bahan bacaan tetapi juga ruang pembelajaran yang selesa dengan kemudahan Internet percuma yang membolehkan semua peringkat umur mengakses ilmu tanpa halangan.
“Kami berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya serta menyokong usaha dan program yang akan dianjurkan kelak,” katanya.
Penubuhan perpustakaan ini mendapat sokongan penuh daripada Pusat Khidmat DUN Tanjong Bunga serta Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Warisan Tanjung.
-ZS-