
Laporan/Foto: Syahrulizan Madian (Sarawak)
MUKAH, 14 Feb (MalaysiaAktif) – SK Agama (MIS) Mukah telah menganjurkan Program ‘Lemari SKAMIS Prihatin’, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan mendapatkan pakaian terpakai yang masih elok dan sempurna.

Salbiah melayan seorang bapa pelajar memilih pakaian untuk anak beliau.
Program tersebut dilaksanakan oleh Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dengan Kerjasama pihak sekolah sebagai usaha murni untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
Menurut Sabiah Ibrahim, 42, penyelaras program merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa yang telah menyumbangkan pakaian terpakai.
Antara barangan yang disumbangkan termasuklah pakaian sekolah, songkok, baju sukan pelajar lelaki dan perempuan, serta kasut sekolah yang masih dalam keadaan baik.

Awangku Dzaheer menunjukkan salah satu baju yang disumbangkan.
Sementara itu, Guru Besar SK Agama (MIS) Mukah, Awangku Dzaheer Awangku Arshad Ibrahim, 54, berkata program itu merupakan usaha bersama untuk memberikan kemudahan kepada semua pihak, khususnya ibu bapa.
“Kerjasama yang sangat baik ini merupakan contoh kolaborasi terbaik antara PIBG dan pihak sekolah,” katanya semalam.
Program tersebut telah diadakan sempena hari pendaftaran pelajar bagi sesi 2025/2026, bertempat di Lobi utama sekolah.
Para ibu bapa yang hadir turut mengambil kesempatan untuk mendapatkan pakaian bagi anak-anak mereka.
Semua pakaian yang disediakan boleh diperoleh secara percuma, dan ibu bapa juga diberi peluang untuk memberikan sumbangan mengikut kemampuan mereka.
-RJ-